
Hakim Suzana Hussin melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan untuk penangguhan perbicaraan kes berkenaan yang dijadual pada 27, 28 dan 29 Mei.
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi memaklumkan mengenai status pernyataan saksi-saksi pendakwaan yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan bagi tujuan perbicaraan,” kata Fadhly yang turut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi-saksi pendakwaan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari sebelum perbicaraan bermula.
Peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan, 43, yang menghadapi lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram mengesahkan perkara berkenaan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan selama 15 hari bermula Mei ini iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.
Fadhly yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan selama tiga hari itu berikutan peguam utama Adam, Shafee Abdullah terlibat dalam kes bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi.
Adam didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.