
Pengarah Strateginya, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tidak timbul masalah peruntukan memandangkan tiada aduan seumpama itu disampaikan ke bilik gerakan, melainkan melalui laporan media dan ‘surat aduan’ yang tidak menyebut nama pengadunya.
Beliau yang juga penyelaras DUN Batang Kali mendakwa tuduhan seumpama itu seolah-olah ingin melemahkan semangat jentera PKR yang bertanggungjawab menjaga enam pusat daerah mengundi (PDM), kesemuanya mempunyai jumlah pengundi Melayu teramai.

“PDM Bandar Utama Batang Kali, contohnya, mempunyai kira-kira 9,000 lebih pengundi, manakala Ampang Pechah ada 4,000 lebih pemilih, termasuk Batu 30 dan Lembah Beringin … jika dicampurkan kesemua daerah mengundi ini mewakili hampir keseluruhan pengundi di Kuala Kubu Baharu.
“Saya minta mana-mana pihak tidak menggunakan strategi politik murahan untuk mengaku sebagai ahli akar umbi bagi mengelirukan (pengundi),” katanya kepada FMT.
“Kalau betul ada masalah dengan perjalanan kempen, sila datang ke bilik gerakan utama, kita sentiasa terbuka dengar segala masalah untuk kita tahu kesulitan supaya boleh selesaikan bersama.”
Semalam, FMT melaporkan jentera PKR didakwa tidak membantu kempen PH di Kuala Kubu Baharu kerana tiada peruntukan disalurkan PKR Selangor, berpunca rasa tidak puas hati dalam soal pemilihan calon.
Turut tersebar, surat aduan tanpa nama diutuskan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan menyebut kesemua enam PDM dikendalikan PKR berdepan masalah dana, menyukarkan jentera untuk bergerak di setiap kawasan.
Amirudin juga ialah ketua PKR dan PH Selangor.
“Jika kebajikan kami tidak dijaga, bagaimana pemimpin atasan mahu menjaga 40,015 rakyat di Kuala Kubu Baharu?” menurut kandungan surat aduan itu.
Menangkis dakwaan itu, Saifuddin berkata, jentera PKR bersama jentera perpaduan termasuk Umno giat mengadakan aktiviti culaan dari rumah ke rumah, termasuk penganjuran ceramah kelompok sehingga tujuh lokasi setiap hari.
“Saya penyelaras DUN Batang Kali dan duduk di sini, saya menghadiri hampir semua mesyuarat jentera, hampir semua mesyuarat teknikal … tidak ada pun isu mengatakan parti ini tak buat kerja, parti itu tak buat kerja.
“Malahan Umno-BN kali ini juga menunjukkan semangat juang dan jentera sangat baik … kita tengok mereka bagi lebih sekali ganda daripada PRN lepas,” katanya yang juga setiausaha politik Amirudin.
Jelasnya, jadual pergerakan calon juga dibuat bersama setiap hari oleh semua jentera parti bagi memastikan Pang menyantuni semua kaum.
“Kita ada penumpuan masing-masing, semua jentera bertugas di kawasan yang ditetapkan, dan bila malam semua jentera bergerak sekali apabila ceramah babitkan penceramah daripada semua parti kerajaan perpaduan.
“Strategi ini berjaya sebab kali ni jentera perpaduan tak goyang, utuh, disiplin dan semangat juang tinggi, dan andai kata ada isu dana, itu memang tak betul,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan Pang ditentang calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).