
Dalam kenyataan, kelab itu memutuskan demikian selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menolak permohonan mereka menunda tarikh asal perlawanan atas alasan ‘faktor keselamatan’.
Selangor FC berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan terperinci mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.
“…pihak kelab terpaksa mengambil keputusan sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.
“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan pasukan,” menurutnya.
Terdahulu, MFL menjelaskan penolakan terhadap permohonan SFC itu selepas polis memberi jaminan keselamatan untuk perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.
Menurutnya, Ketua Polis Johor M Kumar telah mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas, termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.
Permohonan SFC itu menyusul susulan insiden malang menimpa Faisal Halim yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Ahad lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu disahkan mengalami kelecuran tahap empat, selain pergerakan dan percakapannya ketika ini turut terbatas berikutan insiden itu.
Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Akhyar Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
Semalam, pemain JDT Safiq Rahim juga diserang dua lelaki bermotosikal, apabila salah seorang suspek menggunakan tukul untuk memecahkan cermin keretanya.