Gabungan MCA-Gerakan boleh lawan DAP, kata pemimpin Bersatu

Gabungan MCA-Gerakan boleh lawan DAP, kata pemimpin Bersatu

Razali Idris secara peribadi berpandangan MCA dan Gerakan mempertimbangkan cadangan bergabung untuk menambah kekuatan.

Razali Idris-Nuridah Salleh
Pemimpin Bersatu Razali Idris dan Nuridah Salleh dari PAS mengalu-alukan jika MCA mahu menyertai PN.
PETALING JAYA:
Selepas Gerakan, pemimpin Bersatu dan PAS sedia membuka pintu kerjasama dengan MCA menerusi Perikatan Nasional (PN) bagi berdepan DAP pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berkata Gerakan dan MCA mungkin sesuai untuk mengalas cabaran di kerusi bukan Melayu terutama majoriti pengundi Cina yang ketika ini dikuasai DAP.

“Kalau betul MCA berhasrat keluar BN kita sangat sokong kalau dia kerjasama dengan Gerakan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpandangan MCA dan Gerakan mungkin boleh mempertimbangkan untuk bergabung bagi menambah kekuatan melawan DAP.

“Selain elak bertindih kerusi, mereka juga mungkin boleh berkongsi ideologi untuk memperkukuh sokongan orang bukan Melayu,” katanya.

Semalam, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata parti itu tidak akan teragak-agak bergerak solo pada PRU16 jika Umno berdegil untuk tetap bekerjasama dengan DAP.

Beliau menegaskan banyak keputusan dibuat Pengerusi BN Zahid Hamidi bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk pendirian mahu kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan selepas PRU16.

Dalam maklum balasnya, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pihaknya terbuka menerima mana-mana parti berhasrat bekerjasama dengan PN termasuk MCA, jika mereka boleh menerima ideologi perjuangan gabungan itu.

Sementara itu, Ketua Wanita PAS Nuridah Salleh berkata masih terlalu awal untuk melihat kemungkinan gabungan PN dengan MCA yang memerlukan perbincangan lanjut di peringkat atasan.

“Tapi sesiapa nak berbaik-baik dan bekerjasama bagi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil untuk semua, kita mengalu-alukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.