LRT dibimbangi jejas alam sekitar, tak sesuai untuk Langkawi, kata pakar

LRT dibimbangi jejas alam sekitar, tak sesuai untuk Langkawi, kata pakar

Pakar pengangkutan mengkritik cadangan pembangunan LRT di pulau bebas cukai itu.

Kerajaan Kedah bercadang membangunkan laluan LRT dari terminal feri Kuah ke Pantai Cenang di Langkawi, sebelum mengembangkannya secara berperingkat ke destinasi pelancongan lain di pulau itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakar pengangkutan mengkritik cadangan membina laluan transit aliran ringan (LRT) di Langkawi, memetik potensi impak terhadap alam sekitar dan jumlah penumpang yang rendah.

Perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan menjangkakan pembangunan sistem LRT di Langkawi akan memakan diri kerana ia boleh merisikokan alam sekitar di pulau bebas cukai itu, faktor utama yang menarik pelancong.

“Pulau Langkawi ialah kawasan sensitif (alam sekitar). Kita hendak pastikan kita pelihara apa yang ada di Langkawi. Pembangunan LRT akan memberi impak terhadap alam sekitar kerana ia projek pembinaan yang besar.

“Pembangunan LRT itu sendiri akan menghalang pelancong datang ke Langkawi selama dua atau tiga tahun dan ini sudah pasti akan memberi impak terhadap ekonomi,” katanya kepada FMT.

Minggu lepas, Exco Kedah Haim Hilman Abdullah berkata, Permodalan Kedah Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Korea, Royal Eco Train Development (RETD), untuk menjalankan kajian mengenai cadangan itu dalam tempoh enam bulan akan datang.

Kerajaan negeri bercadang membangunkan laluan LRT dari terminal feri Kuah ke Pantai Cenang sebelum mengembangkannya secara berperingkat ke destinasi pelancongan lain di pulau itu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan Kedah masih belum mengemukakan permohonan berhubung pembangunan laluan LRT itu kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Perunding pengangkutan Rosli Khan berkata, pelancongan bermusim di Langkawi menyebabkan projek itu tidak wajar dilaksanakan berikutan permintaan dan jumlah penumpang yang rendah.

Beliau berkata, sistem LRT lebih sesuai bagi bandar-bandar dengan populasi sekitar 5 hingga 6 juta, di mana permintaan untuk masuk ke pusat bandar boleh mencecah setinggi 5,000 hingga 6,000 sejam bagi satu arah.

“LRT direka untuk sejumlah besar penumpang bergerak pada kelajuan yang agak tinggi secara berturut-turut, (beroperasi) selang lima atau enam minit secara tetap,” katanya.

“Di Langkawi, jumlah penumpang yang begitu tinggi tidak wujud. Langkawi ialah destinasi pelancongan, tiada pergerakan besar-besaran orang untuk (mewajarkan) LRT berfungsi dengan tetap.”

Untuk meminimumkan potensi impak alam sekitar, Wan Agyl mencadangkan perkhidmatan perkongsian basikal, laluan transit rel bas (BRT) atau sistem trem diteroka.

Beliau juga menyarankan perkhidmatan perkongsian van atau perkhidmatan bas “hop-on, hop-off” sebagai alternatif yang boleh dipertimbangkan.

Katanya, sistem LRT lebih munasabah dibangunkan di kawasan yang mengalami kesesakan tinggi, seperti Pulau Pinang.

Sementara itu, Rosli berkata, perkhidmatan bas mini lebih baik untuk Langkawi, memandangkan ia boleh meliputi seluruh pulau dengan kos lebih rendah berbanding bas biasa.

Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Kedah/Perlis berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut mengenai cadangan itu, tetapi mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh menarik pelabur dan menggiatkan pelancongan.

Bagaimanapun, pengerusinya, P Subramaniam turut menzahirkan kebimbangan mengenai impak terhadap alam sekitar, bersetuju bahawa perkhidmatan bas ialah pilihan yang lebih baik bagi Langkawi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.