
Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut berpendapat sentimen kenegerian menebal juga mungkin mengurangkan peluang komponen itu mengulangi pencapaian pada PRN, empat tahun lalu.
Ketika itu, PN bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) yang secara tidak rasmi dikenali Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bercakap kepada FMT, beliau berkata PN perlu mempunyai lebih ramai tokoh pemimpin yang berpengaruh untuk mengisi kekosongan ditinggalkan pemimpin dan ahli yang membentuk Parti Gagasan Rakyat Sabah dan GRS.
Menurutnya, Kiandee yang kini mengetuai PN dan Bersatu Sabah hanya dilihat kuat di Beluran iaitu kawasan parlimen diwakilinya dan tidak terlalu dikenali atau popular secara umum walaupun pernah menjadi bekas menteri persekutuan dari 2020 hingga 2022.
“Jadi pemimpin PN kena ukur baju di badan sendiri, sekarang mereka hanya ada Kiandee yang hanya kuat di kawasannya…(sedangkan) kalau nak kuasai Sabah kena ada 42 kerusi.
“Kalau hendak harapkan pemimpin PAS Aliakbar Gulasan (juga Adun dilantik) pun bermasalah, saya lihat keinginan Muhyiddin Yassin (PN kembali perintah Sabah) itu mungkin boleh berlaku tetapi kena kerja keras,” katanya.
“Kena cari pemimpin yang boleh pastikan kemenangan dan paling penting tak boleh tanding solo.”
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin kelmarin yang PN menyasarkan kembali membentuk kerajaan negeri pada PRN Sabah dijangka tahun depan dan kini dalam proses membina semula kekuatannya.
Pada PRN 2020, gabungan PN, BN dan PBS menewaskan kerjasama Warisan dan Pakatan Harapan (PH). DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti dengan pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Romzi berkata jika PN ingin mencuba nasib di Sabah mereka boleh bertanding 42 daripada 60 kerusi, selebihnya diagihkan dengan parti lain yang mahu bekerjasama dengannya.
“42 kerusi memadai dan mereka harus nilai kekuatan memandangkan ada cawangan Bersatu yang sebelum ini kubu kuat telah mati, jadi macam mana PN boleh kata boleh kembali tadbir Sabah kalau begitu?,” katanya.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung, juga penganalisis dari UMS berkata kehadiran Bersatu sememangnya akan memeriahkan politik Sabah walaupun parti itu hanya mempunyai satu kerusi Parlimen menerusi kemenangan Kiandee pada PRU15.
Namun katanya, dalam politik angka keahlian penting untuk menunjukkan Bersatu dan PN kepada masyarakat umum.
“Mereka perlu berusaha mengemaskini data keahlian parti dan bersungguh-sungguh merekrut keahlian baharu untuk memperkukuhkan parti,” katanya.