
Timbalan Komander Briged Tenggara PGA Hakemal Hawari berkata, kereta perisai Skuadron Perisai 9 itu digerakkan sejak Khamis lepas, susulan insiden letupan bom di Selatan Thailand pada 29 April.
Katanya, usaha berkenaan sekali gus memperkasakan kehadiran kereta perisai Commando V150 PGA di kawasan sempadan negara.
“Kereta perisai telah digerakkan untuk tugas rondaan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ular hingga Pos Ibrahim Pencen bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan,” katanya.
Selain itu, katanya, Unit Dron Batalion 7 turut digerakkan, dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, untuk mengesan sebarang kegiatan rentas sempadan negara.
“Insiden tembakan dan pengeboman yang berlaku sememangnya memberi kesan terhadap tahap keselamatan sempadan negara yang dilihat mampu menjejaskan sosioekonomi dan kehidupan harian masyarakat sekitar jika tidak ditangani secara berhemah.
“Briged Tenggara PGA bersama polis Kelantan akan terus komited memastikan sempadan negara tidak dibolosi sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.
Pada 2 Mei lepas, polis Kelantan mula menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden bom berkenaan.