
Wee berkata, taktik DAP menakutkan pengundi Cina terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, menyebabkan golongan itu rasa terpaksa mengundi parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu walaupun dibelenggu was-was.
Menurutnya, rasa tidak puas hati dengan DAP berpunca daripada kegagalan kerajaan perpaduan melaksanakan pembaharuan dan memenuhi janji dibuat ketika kempen pilihan raya.
“Sentimen masyarakat itu sudah ada, tetapi apabila sampai nak mengundi…’kalau kamu silap mengundi terus ‘greenwave’, kamu akan berikan kuasa kepada gelombang hijau’.
“Saya rasa ini satu taktik yang digunakan,” katanya merujuk kepada istilah digunakan ahli politik merujuk kebangkitan PN pada PRU15.
Dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap, Wee berkata DAP pernah ‘tidur sebantal’ dengan PAS di bawah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, ketika itu DAP cuba memberi gambaran baik mengenai PAS kepada pengundinya. Bagaimanapun, namun sebaik berlaku konflik antara dua parti itu, DAP memberi gambaran berbeza pula terhadap PAS, katanya.
Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, taktik menakut-nakutkan sama digunakan terhadap MCA. Katanya, pelbagai janji manis diberikan kepada pengundi Cina untuk memberi gambaran bahawa MCA lemah dalam memperjuangkan hak masyarakat Cina.
Ahli MCA KKB bebas undi
Sementara itu, Wee berkata ahli MCA di Kuala Kubu Baharu bebas mengundi sesiapapun pada PRK 11 Mei kerana parti itu tidak bertanding mahupun menyokong mana-mana calon.
Katanya, tindakan parti itu tidak melibatkan diri dalam PRK berkenaan tidak patut dianggap sebagai sabotaj memandangkan MCA tidak mengarahkan ahlinya supaya tidak mengundi calon kerajaan perpaduan.
PRK Kuala Kubu Baharu bakal melihat pertembungan empat penjuru antara Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia), dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
MCA memutuskan tidak berkempen untuk Pang walaupun Umno dan MIC menunjukkan sokongan untuk calon DAP itu.