EAIC akan tubuh pasukan khas cegah kematian dalam tahanan

EAIC akan tubuh pasukan khas cegah kematian dalam tahanan

Pasukan itu akan kenal pasti cadangan langkah pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan, SOP dan prasarana.

Bulan lalu, kajian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mendapati 430 kematian dalam tahanan berlaku di Malaysia dari 2011 hingga 2021. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk melaksanakan syor terhadap kes kematian tahanan dalam lokap.

Pengumuman itu menyusul laporan dibentangkan EAIC berhubung kematian dalam tahanan dan cadangan langkah pencegahan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).

PMO dalam kenyataan berkata, pasukan petugas khas itu akan mengenal pasti cadangan langkah pencegahan berhubung aspek penambahbaikan perundangan, tatacara operasi standard dan prasarana bagi memastikan hak asasi manusia terpelihara.

Bulan lalu, kajian EAIC mendapati 430 kematian dalam tahanan berlaku di Malaysia dari 2011 hingga 2021 yang membabitkan polis, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Dalam perkembangan lain, PMO berkata, kerajaan memandang serius isu kelemahan tatakelola dalam pengurusan entiti berkepentingan kerajaan yang menyebabkan ketirisan wang dan salah guna kuasa.

Justeru, katanya, JKKTN bersetuju dengan cadangan penggubalan akta bagi memperkukuhkan kawal selia badan berkanun persekutuan.

“Penggubalan ini akan mencakupi perkara berkaitan pinjaman, pelaburan, penubuhan anak syarikat dan lain-lain perkara bagi tujuan diputuskan di Kementerian Kewangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.