Warga AS mengaku salah miliki bahan porno, video lucah budak

Warga AS mengaku salah miliki bahan porno, video lucah budak

David Matthew Frahm, 46, didakwa memiliki bahan itu dalam komputer riba pada 15 Feb lalu.

Warga Amerika Syarikat, David Matthew Frahm, 46, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Langkawi hari ini terhadap pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah dalam komputer riba.
PETALING JAYA:
Seorang warga Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Langkawi hari ini terhadap pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah dalam komputer riba, Februari lalu.

Tertuduh, David Matthew Frahm, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Helmi Ghani, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak dan video lucah di dalam komputer riba di sebuah kediaman di Chogm Villa, Jalan Seri Legenda, 7.10 malam pada 15 Feb lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Cheow Wee dan Alvin Lau.

Mahkamah menetapkan 13 Mei depan untuk mitigasi kes dan keputusan hukuman.

Tertuduh sebelum ini juga berdepan pendakwaan atas kesalahan tinggal melebihi masa di negara ini selama 1,380 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.