Polis masih siasat motif e-mel ugut wakil rakyat

Polis masih siasat motif e-mel ugut wakil rakyat

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata kadangkala kes sebegini membabitkan oportunis.

bukit aman
Ahad lalu, Bukit Aman mengesahkan tiga Ahli Parlimen dan seorang senator membuat laporan polis berhubung e-mel ugutan itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis masih menyiasat motif e-mel ugutan dihantar kepada beberapa wakil rakyat yang menuntut USD100,000 bagi menghalang pendedahan video lucah palsu dijana kecerdasan buatan.

“Kadangkala, dalam kes sebegini, ia membabitkan oportunis,” kata Ketua Polis Negara, Khalid Ismail ketika ditanya sama ada cubaan peras ugut itu bermotifkan politik.

Ahad lalu, Bukit Aman mengesahkan tiga Ahli Parlimen dan seorang senator membuat laporan polis berhubung e-mel ugutan itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari daripada PKR, Ahli Parlimen Kulim daripada Gerakan, Wong Chia Zhen serta Senator Nelson W Angang.

Siasatan sedang dijalankan berhubung pemerasan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli merupakan wakil rakyat pertama mendedahkan beliau menerima e-mel ugutan itu yang turut melampirkan ‘tangkap layar’ video terbabit bersama kod QR untuk pemindahan wang.

Ahli politik lain yang turut menerima e-mel itu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga menteri komunikasi; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli; Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin; Adun Kota Anggerik Najwan Halimi; Adun Seri Setia Fahmi Ngah dan Senator Manolan Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis akan memanggil Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, antara lain untuk merekodkan kenyataan mereka.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar dilaporkan berkata, polis membuka siasatan terhadap Tang susulan kenyataannya baru-baru ini berhubung program matrikulasi.

Katanya, polis menerima lima laporan berhubung kenyataan Tang yang mencadangkan sistem matrikulasi digantikan dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai standard tunggal kemasukan ke universiti awam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.