Warga emas mengaku salah pamer gambar Agong bersama bendera parti

Warga emas mengaku salah pamer gambar Agong bersama bendera parti

P Ramasamy, 66, dijatuhi sebulan penjara dan tambahan sebulan lagi jika gagal bayar denda RM3,000.

P Ramasamy dalam rayuannya berkata, dia tidak mengetahui menjadi kesalahan pamer gambar Yang di-Pertuan Agong untuk memeriahkan kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
PETALING JAYA:
Warga emas dijatuhi sebulan penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Hulu Selangor selepas mengaku bersalah mempamer gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti politik, pada 4 Mei.

P Ramasamy, 66, dijatuhkan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu dituduh mempamerkan gambar Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda, yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Tertuduh dikatakan mempunyai kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, lapor Utusan Malaysia.

Tindakan Ramasamy itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH. Kesalahan itu dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, kira-kira 5.40 petang, 4 Mei.

Mengikut fakta kes, tertuduh melekatkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kedua-dua sisi dan belakang kenderaan tersebut serta sepandu gambar baginda di bahagian belakang. Kenderaan tersebut juga dipasang dengan bendera Malaysia dan Johor.

Justeru, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ketika diberi ruang merayu hukuman memaklumkan tidak menyedari tindakannya datang untuk memeriahkan kempen pilihan raya di Kuala Kubu Baharu dengan membawa gambar Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan.

“Puan hakim, saya memohon ampun dan maaf, saya tidak menyedari penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu kesalahan. Saya cuma mahu memeriahkan kempen pilihan raya di sini. Jadi, saya sekali lagi memohon ampun dan maaf,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan kemudian menyatakan tidak tahu tentang penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai satu kesalahan adalah bukanlah satu alasan yang boleh diterima.

Katanya, meletakkan gambar Agong bersama bendera parti menunjukkan tertuduh tidak menghormati baginda dan institusi diraja.

Siti Fatimah kemudian memaklumkan mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh dan menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.