Polis tubuh pasukan khas siasat kes samun Akhyar Rashid

Polis tubuh pasukan khas siasat kes samun Akhyar Rashid

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek yang menyamun pemain Terengganu FC itu.

Gambar tular di media sosial menunjukkan Akhyar Rashid terduduk di depan sebuah kenderaan dalam keadaan lemah selepas disamun. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU:
Polis menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes samun pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan suspek kejadian itu yang dipercayai lebih daripada dua orang.

“Polis juga membuat pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit, dua saksi juga dipanggil membantu siasatan,” katanya selepas majlis serah tugas ketua polis Terengganu di IPK Terengganu.

Bagaimanapun, Azli berkata setakat ini belum ada maklumat yang dapat membantu mengesan suspek.

Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan menyebarkan kes itu di media sosial bagi mengelak mengganggu siasatan.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun.

Sementara itu, bekas pengarah seksyen pelaksanaan operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Mohd Khairi Khairudin dilantik ketua polis Terengganu yang baharu menggantikan Mazli Mazlan yang akan bertukar ke Nadma.

Khairi berkata beliau bertekad untuk mengekalkan keamanan dan memastikan kadar indeks jenayah yang rendah di Terengganu selain memperkukuh kerjasama serta jaringan hubungan dengan masyarakat.

“Saya juga akan menggunakan pengalaman ketika di Nadma untuk menguruskan bencana banjir di Terengganu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.