Kumpulan pro-Palestin kecam kehadiran syarikat bekal senjata kepada Israel

Kumpulan pro-Palestin kecam kehadiran syarikat bekal senjata kepada Israel

Sekretariat Solidariti Palestin desak pembabitan beberapa syarikat pada pameran di KL dibatalkan.

Lockheed Martin
Lockheed Martin, antara yang dinamakan kumpulan pro-Palestin, dilaporkan membekalkan sistem radar kepada Malaysia. (Gambar Malaysia Military)
PETALING JAYA:
Gerakan pro-Palestin mengecam kehadiran beberapa syarikat pertahanan seperti Lockheed Martin pada pameran pertahanan dan keselamatan di ibu negara.

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) turut menamakan MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo kerana membekalkan senjata kepada Israel, yang terlibat dalam ‘genosid dan pembunuhan kejam rakyat Palestin’.

“Bagaimana Malaysia yang teguh bersolidariti dengan Palestin membenarkan syarikat-syarikat berkenaan masuk dan menayangkan senjata mereka, yang mereka bekalkan untuk membantu genosid yang sedang berlaku?” katanya dalam kenyataan.

SSP berkata pembabitan syarikat yang “menyumbang kepada genosid” harus dibatalkan segera.

Ia juga menggesa universiti-universiti yang menyertai pameran itu melakukan boikot jika syarikat-syarikat berkenaan tidak dikeluarkan.

Beberapa syarikat tersebut pernah menyediakan peralatan ketenteraan kepada Malaysia.

Pada Februari, radar pengawasan jarak jauh dibangunkan Lockheed Martin dilaporkan dipasang di Malaysia Timur, manakala BAE dan Leonardo, juga mempunyai hubungan yang lama dengan Angkatan Tentera Malaysia.

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024, dijadual bermula 6 hingga 9 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.