Masyarakat India KKB tak sedar inisiatif kerajaan negeri, kata Santiago

Masyarakat India KKB tak sedar inisiatif kerajaan negeri, kata Santiago

Bekas Ahli Parlimen DAP itu berkata, 'ketidaksambungan' ini mewujudkan persepsi mereka didiskriminasi.

Charles Santiago berkata, masyarakat India di Kuala Kubu Baharu mahu berjumpa dengan menteri besar Selangor untuk menyampaikan keluhan mereka.
PETALING JAYA:
Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu kebanyakannya tidak maklum tentang inisiatif kerajaan Selangor untuk menangani masalah seperti kemiskinan dan pendapatan yang kecil, kata seorang bekas Ahli Parlimen.

Bekas Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata, ketidaksambungan ini mewujudkan persepsi bahawa kerajaan negeri mendiskriminasi masyarakat itu, walaupun bantuan sudah tersedia.

Katanya, masalah perumahan di Bukit Tagar dan Ladang Nigel Gardner yang sudah berlarutan berdekad lamanya masih belum selesai walaupun janji dibuat pada pilihan raya yang lepas.

“Orang ramai tak berminat dengar ceramah. Mereka mahukan saluran untuk mengadu tentang masalah yang mereka hadapi kepada pihak berkuasa, iaitu kerajaan negeri. Oleh itu, sudah tiba masanya mekanisme aduan diwujudkan dan usaha dilakukan untuk menangani (isu-isu masyarakat).

“Rakyat percaya tiada iltizam politik. Penyelesaian isu perumahan itu akan membantu meredakan kemarahan (masyarakat India),” katanya dalam kenyataan.

Santiago juga berkata, masyarakat India tempatan telah mencadangkan agar Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bertemu dengan mereka untuk mendengar keluhan dan menangani kebimbangan mereka dengan lebih berkesan.

“Saya harap (Amirudin) terima permintaan mereka (untuk bertemu),” katanya sambil menambah, ramai anggota masyarakat itu ‘tidak puas hati dan sedang mencari alternatif’.

Semalam, Santiago berkata, masyarakat India di kawasan itu bergelut dengan kemiskinan, ketiadaan peluang pekerjaan dan perumahan yang tidak mencukupi.

Masalah-masalah ini sudah berlarutan selama beberapa dekad tanpa penyelesaian, tambahnya.

Katanya, pemimpin politik harus menumpukan perhatian pada usaha menyelesaikan masalah-masalah ini, berbanding membuang masa bertelagah sesama sendiri menjelang PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.