Isu rumah 245 keluarga di 5 ladang selesai minggu depan

Isu rumah 245 keluarga di 5 ladang selesai minggu depan

Kerajaan akan mengumumkan berita baik berhubung pekerja ladang yang diusir tanpa rumah untuk didiami mereka.

Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama pihak berkuasa tempatan Perak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, hari ini. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Masalah perumahan yang membelenggu 245 keluarga melibatkan lima ladang di Bestari Jaya, Hulu Selangor sejak berdekad lalu bakal diselesaikan dalam masa terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kerajaan akan mengumumkan berita baik berhubung pekerja ladang itu yang diusir tanpa rumah untuk didiami mereka, minggu depan.

“Masalah itu telah wujud sejak 1998, sudah 26 tahun tidak selesai maka kini di bawah kerajaan Malaysia Madani atas jasa baik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saya telah berbincang dengan menteri besar Selangor dan ketua setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Minggu depan kita akan bawa satu berita baik berkenaan masalah perumahan yang telah berlarutan sekian lama melibatkan 245 keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama pihak berkuasa tempatan Perak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata lima ladang di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu itu ialah Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.

Terdahulu, Nga mengumumkan peruntukan RM42.65 juta bagi sekolah, masjid dan surau serta pembangunan kawasan Teluk Intan termasuk RM35 juta bagi pembinaan jambatan dari Kampung Bahagia ke Bandar Teluk Intan yang akan bermula Julai ini.

Beliau berkata, sebanyak RM1.7 juta daripada peruntukan itu disalurkan untuk 45 sekolah kerajaan di daerah Hilir Perak, RM 2.5 juta kepada Kampung Bahagia yang dijadikan Kampung Angkat Madani, RM2.5 juta bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan Jambatan Batak Rabit, serta RM72,000 lagi untuk 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi dan 7 Mei pengundian awal bagi PRK Kuala Kubu Baharu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.