
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan berkata, mahkamah menolak permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk individu bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.
Tetapi, Shamsul berkata, mahkamah memaklumkan Tengku Zafrul dan peguamnya boleh mencuba sekali lagi jika Najib dibenar meneruskan cabaran undang-undangnya.
Menteri pelaburan, perdagangan dan industri diwakili peguam Sunil Abraham manakala Shafee Abdullah mewakili Najib.
Dalam permohonan difailkan pada 1 April, Najib mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan ‘perintah tambahan’ semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum penggal baginda berakhir.
Bagaimanapun, Najib mendakwa ‘perintah tambahan’ itu tidak diumumkan oleh lembaga pada 2 Feb dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak melaksanakan perintah tambahan itu.
Najib juga berkata peguamnya menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk mengesahkan sama ada ‘perintah tambahan’ itu wujud.
Mereka tidak menerima sebarang jawapan.
Najib mahu mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan perintah tambahan itu, jika wujud dan meletakkannya di bawah tahanan rumah.
Zahid memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan cabaran undang-undang Najib, dengan mendakwa Tengku Zafrul telah menunjukkan kepadanya “perintah tambahan” semasa pertemuan mereka.
“Beliau menunjukkan kepada saya salinan ‘perintah tambahan’ tersebut pada telefonnya yang diambil daripada salinan asal ditunjukkan kepadanya oleh Sultan Abdullah,” katanya.
Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada membenarkan Najib meneruskan cabaran undang-undangnya.