SPRM terima beribu dokumen siasatan kes 1MDB, mahkamah diberitahu

SPRM terima beribu dokumen siasatan kes 1MDB, mahkamah diberitahu

Pegawai Penyiasat SPRM Nur Aida Arifin berkata ini menyebabkannya terlepas pandang untuk merujuk e-mel berkaitan mesyuarat firma audit KPMG kepada Najib Razak.

Najib Razak berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima beribu-ribu dokumen ketika menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak.

Pegawai Penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin, 37, berkata ini menyebabkan beliau terlepas pandang untuk merujuk e-mel berkaitan mesyuarat firma audit KPMG Malaysia kepada bekas perdana menteri itu ketika siasatan.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mencadangkan bahawa sama ada beliau menerima apa-apa arahan daripada pegawai atasannya atau tidak ambil peduli untuk merujuk e-mel terbabit kepada Najib.

“Saya tidak setuju dengan kedua-dua cadangan itu. Semasa siasatan, kita dapat lebih beribu-ribu dokumen untuk siasatan kes ini, jadi berkemungkinan sama ada dokumen itu saya terlepas pandang untuk bertanya atau pegawai perakam tidak sempat untuk bertanya kepada Najib. Saya tidak ingat.

“Apa-apapun, saksi lain dalam kes ini telah mengesahkan perkara itu. Menurut saksi lain, Najib tahu mengenai apa yang dibincang dalam mesyuarat itu. Najib juga diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan jika beliau nak tambah apa-apa ketika siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Nur Aida dalam pernyataan saksi memaklumkan bahawa satu mesyuarat diadakan di rumah Najib di Taman Duta bersama pihak pengurusan 1MDB dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Jho Low memulakan mesyuarat itu dengan membentangkan kandungan e-mel yang disediakannya.

Najib bersetuju dengan kandungan e-mel itu dan mengarahkan satu mesyuarat bersama KPMG diadakan dengan segera bagi menyelesaikan isu berkaitan pengauditan.

Bagaimanapun, Wan Azwan pada prosiding hari ini memaklumkan mahkamah bahawa Najib tidak pernah bersetuju dengan kandungan e-mel itu dan tidak mengarahkan agar satu mesyuarat diadakan bersama KPMG.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 25 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.