Pintu masuk sesak: Menteri akui ada ruang boleh tambah baik

Pintu masuk sesak: Menteri akui ada ruang boleh tambah baik

Saifuddin Nasution yakin beberapa pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat bagi memudahkan ketibaan pengembara.

Perdana menteri dalam ucapannya menegur imigresen berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengakui terdapat ruang yang boleh ditambah baik berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara.

Beliau berkata hampir setiap hari pihaknya berbincang bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.

“Saya yakin dalam masa terdekat ini ada beberapa pengumuman pencetus perubahan yang kita buat, ini bagi memudahkan ketibaan pengembara supaya tidak perlu bersesak… kita akui ada limitasi tetapi tekad kami, tidak ada benda yang tidak boleh diikhtiar jalan keluar… teguran dan asakan berterusan kami tidak ambil hati sebaliknya kami anggap ini sebagai cabaran,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada majlis Aidilfitri di Kementerian Dalam Negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menegur imigresen berhubung isu kesesakan di pintu masuk negara khususnya di lapangan terbang.

Menyifatkan teguran itu bagi menambah baik perkhidmatan agensi berkenaan, perdana menteri berkata pelancong tidak akan menerima sebarang alasan susulan kelewatan yang mengakibatkan mereka menunggu lebih lama dan berharap perkara tersebut dapat ditangani dengan baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.