Kemenangan di KKB jadi manifestasi perpaduan, kata Ahmad Maslan

Kemenangan di KKB jadi manifestasi perpaduan, kata Ahmad Maslan

Ahli MKT Umno berkata kemenangan itu akan menterjemahkan kekuatan kerjasama antara 18 parti.

Calon PH Pang Sock Tao ditentang tiga pencabar iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Nyau Ke Xin (bebas) dan Hafizah Zainuddin (PRM) pada PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.
HULU SELANGOR:
Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini akan menjadi manifestasi perpaduan Barisan Nasional (BN) dan PH dalam menghadapi PRK lain, sekiranya diadakan pada masa depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, berkata kemenangan itu bukan sahaja akan membakar semangat parti yang membentuk kerajaan perpaduan, malah menterjemahkan kekuatan kerjasama antara semua 18 parti.

Beliau berkata, berbanding sebelum ini PRK berkenaan juga ialah ujian kali pertama BN berkempen bagi calon DAP.

“Itu sebab mengapa di sini amat penting untuk kita menang…satu manifestasi yang baik hasil perpaduan parti-parti yang boleh memenangkan sesuatu tempat yang sukar. Kalau menang di sini, kita juga boleh menang pada PRK lain,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media Jabatan Penerangan PRK KKB.

Ahmad yang juga timbalan menteri kerja raya berkata, kemenangan calon PH akan membolehkan beliau berperanan sebagai jambatan dengan kerajaan negeri dan persekutuan dalam membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Pada PRK itu, calon PH Pang Sock Tao ditentang tiga pencabar iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.