EL Nino dijangka hingga Julai

EL Nino dijangka hingga Julai

Cuaca panas dijangka berterusan hingga 2 bulan lagi, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengikut trend biasa, cuaca panas yang kini melanda negara sepatutnya sudah berakhir, digantikan dengan hujan, menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Fenomena El Nino, atau cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini, dijangka berterusan sehingga Julai.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mengikut trend biasa, cuaca panas yang melanda negara sepatutnya sudah berakhir, digantikan dengan hujan.

“Ikut trend biasa, berdasarkan laporan diterima, sepatutnya (cuaca panas) sudah mula beralih dan hujan akan datang, namun keadaan ini mungkin (berterusan) sebulan atau dua bulan lagi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan memantau perkara ini.

“Justeru, kita juga akan memantau dan berjaga-jaga tentang jerebu dalam negara dan rentas sempadan. Kita juga melihat beberapa kesan kebakaran membabitkan tanah gambut,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, lapor Berita Harian.

“Pada masa sama, kita bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) untuk memantau paras air dan mungkin terpaksa membuat pembenihan awan sekiranya perlu.”

Nik Nazmi berkata, menurut ramalan, tahun ini adalah yang paling panas selepas 1998, dan beberapa negeri, seperti Kelantan, Perlis dan Kedah, mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri-negeri lain.

Katanya, pihaknya menerima permintaan daripada Kelantan dan syarikat air untuk melakukan pembenihan awan, namun perkara itu akan diputuskan oleh MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Pembenihan awan tidak boleh dibuat suka-suka, sebaliknya perlu memenuhi syarat tertentu. Malah kos juga tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.