Didakwa hasut benci Agong, penulis blog Wan Azri mengaku tak salah

Didakwa hasut benci Agong, penulis blog Wan Azri mengaku tak salah

Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi aplikasi X di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada 12 tengah hari Isnin lalu.

Wan Muhammad Azri Wan Deris di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat kenyataan menghasut yang mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Wan Azri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Bekas exco Pemuda Umno itu didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan pengasas KK Mart, Chai Kee Kan mengadap Sultan Ibrahim, menerusi aplikasi X di sebuah kondominium di Bukit Bintang pada 12 tengah hari Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob, manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah.

Khairul kemudiannya memberitahu mahkamah, pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi mahu jumlah yang tinggi ditetapkan kerana kesalahan membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Rafique berkata pertuduhan yang dihadapi anak guamnya itu adalah kesalahan yang boleh dijamin.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Siti Aminah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan Wan Azri perlu melaporkan diri ke balai polis setiap bulan hingga kes selesai.

Selasa lalu, Wan Azri ditahan berhubung kenyataan mengaibkan Agong menerusi hantaran video selama dua minit 46 saat yang mempersoalkan tindakan Sultan Ibrahim menerima menghadap Chai pada 3 April lalu.

Chai dalam sesi menghadap 15 minit itu memohon ampun dan maaf kepada Sultan Ibrahim serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.