
Nur Ayuni Mohd Isa daripada Universiti Putra Malaysia berkata, tidak dinafikan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menjadi pilihan ketika ini kerana latar belakangnya sebagai pakar aeroangkasa selain dikatakan berjaya menjalankan tugas sebagai menteri besar Terengganu.
Namun, menurut Nur Ayuni, pemilihan calon perdana menteri daripada parti itu juga perlu mengimbangi golongan profesional dan ulama.
“Rakyat Malaysia lebih yakin jika pemimpin terdiri daripada kumpulan profesional berbanding golongan agama.
“Bagi PAS, sesiapapun calon PM, ideologi parti itu masih perlu dibawa,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Mas Ermieyati Samsudin minggu lepas yang tidak menolak kemungkinan tokoh PAS boleh menjadi calon perdana menteri pada PRU akan datang.
Mas Ermieyati, ahli Majlis Pimpinan Terrtinggi Bersatu berkata, PAS kini berbeza dengan dahulu apabila dikuatkan dengan penyertaan golongan teknokrat seperti Samsuri yang terkenal dengan jolokan Dr Sam.
Nama Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman diuar-uarkan berpotensi sebagai perdana menteri apabila PN membentuk kerajaan, yang turut diakui pengerusinya, Muhyiddin Yassin.
Perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika berkempen untuk Samsuri pada kempen PRK Kemaman tahun lepas.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara pula berpendapat, kenyataan Mas Ermieyati itu bukan disebabkan PAS mempunyai ramai teknokrat sebaliknya ‘satu pengakuan’ kelebihan parti itu mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding Bersatu.
“Bersatu atau Mas Ermieyati perlu terima hakikat bukan kerana PAS ada teknokrat dalam parti, tapi kekuatan politik mereka yang Bersatu tak nak akui, itu yang buat Bersatu marah, kerana mereka tidak diakui kekuatan politik,” katanya.
Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, PAS dan Bersatu perlu memuktamadkan isu calon perdana menteri sebelum PRU16 untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa depan.
“Bagi saya, isu tak besar sangat sekarang, PAS dan Bersatu tak meletup (bergaduh) lagi tentang siapa jadi calon perdana menteri.
“Setakat ini sebarang pandangan akan kekal sebagai pandangan,” katanya.