
Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, kurang daripada 10% mendaftar untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) setakat ini.

“Setakat 21 April 2024, hanya 253,794 wanita mendaftar, di mana Sarawak mendahului negeri lain dengan 56,128 pendaftaran,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pekerja.
“Ini disusuli Sabah dengan 49,780, Selangor sebanyak 16,867, Johor 16,588, Terengganu 16,348, Kelantan 15,489, Perak 15,397, Pulau Pinang 13,953, Kedah 13,855, Negeri Sembilan 11,161, Pahang 9,154, Melaka 8,056 dan Perlis 3,725.”
Pengerusi Jawatankuasa SKSSR Perkeso itu berkata, sebanyak 7,293 pendaftaran direkodkan untuk tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Beliau berkata, orang Melayu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 137,796 pendaftaran, disusuli Bumiputera Sabah 20,631, Bumiputera Sarawak 19,204, orang India 17,034, orang Cina 10,399, Orang Asli (Semenanjung) 472 dan lain-lain 48,258.
Skim itu untuk memberi perlindungan kepada suri rumah daripada kemalangan domestik atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga serta suri rumah yang menghidap penyakit atau hilang upaya.
Suri rumah berkahwin atau belum berkahwin, balu dan ibu tunggal dikehendaki mencarum RM10 sebulan atau setahun RM120, dengan caruman boleh dibuat suri rumah sendiri, ahli keluarga atau majikan.
“Dengan adanya skim sebegini, objektifnya kini untuk meningkatkan kesungguhan dalam penyebaran maklumat mengenai skim itu melalui pemimpin masyarakat, ahli majlis, Adun, Ahli Parlimen dan Senator, termasuk masyarakat sivil serta semua NGO bagi membantu menyebarkan maklumat mengenai perlindungan sosial untuk suri rumah.”
Pada 15 Mac lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan jawatankuasa baharu akan ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih ramai ahli keluarga mencarum kepada suri rumah bawah skim itu.
Kasthuri berkata, jawatankuasa itu bekerja keras untuk mengatur strategi bagi memastikan wanita, khususnya suri rumah, menerima maklumat betul, khasnya golongan B40 dan di luar bandar dengan sasaran sekurang-kurangnya 500,000 pendaftaran untuk tahun ini.
Bawah skim itu, suri rumah layak mendapat Faedah Perlindungan Kemalangan Domestik meliputi faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan fizikal atau dialisis dan pencen penakat.
Bagi Faedah Perlindungan Ilat, suri rumah boleh menikmati elaun morbiditi, kemudahan pemulihan fizikal atau dialisis, faedah pengebumian dan pencen penakat.
Kasthuri, yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, berkata Malaysia antara empat negara di dunia yang mempunyai skim perlindungan sosial untuk suri rumah.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.perkeso.gov.my/en/our-services/protection/housewife.html.