Penulis blog Wan Azri dituduh mengikut Akta Hasutan esok

Penulis blog Wan Azri dituduh mengikut Akta Hasutan esok

Peguamnya berkata bekas exco Pemuda Umno itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok.

Wan Muhammad Azri Wan Deris
Media sebelum ini melaporkan Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan berhubung kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok.

Peguamnya, Rafique Rashid berkata anak guamnya yang kini ditahan di IPD Dang Wangi akan dituduh mengikut Seksyen4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

“Saya memperoleh makluman daripada pegawai penyiasat bahawa arahan pertuduhan telah dikeluarkan. Wan Muhammad Azri akan dituduh mengikut Seksyen4(1)(c) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media kelmarin melaporkan bekas exco Pemuda Umno itu ditahan berhubung kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Bekas exco Pemuda Umno itu dalam hantaran video selama dua minit 46 saat mempersoalkan tindakan Sultan Ibrahim menerima menghadap pengasas KK Mart, Chai Kee Kan pada awal bulan ini.

Dalam video itu, dia turut mendakwa Sultan Ibrahim mengarahkan Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, 45, dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Chai di Istana Negara pada 3 April lalu susulan kontroversi rangkaian kedai serbaneka itu dalam isu stoking tertera kalimah Allah.

Chai dalam sesi menghadap 15 minit itu memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.