MTUC tak terus rayuan, akan adakan pemilihan baharu

MTUC tak terus rayuan, akan adakan pemilihan baharu

Majlis Am kongres itu membuat keputusan sebulat suara dalam mesyuarat khasnya Ahad lepas, kata setiausaha agungnya.

 Kamarul Baharin Mansor
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, ahli-ahlinya ingin melihat kongres itu lebih menumpukan perhatian terhadap isu-isu pekerja.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengisytiharkan persidangan perwakilan tiga tahun sekali yang diadakannya pada 2022 terbatal dan tidak sah.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, kongres itu tidak akan meneruskan rayuan yang masih berjalan di Mahkamah Rayuan itu susulan keputusan sebulat suara Majlis Amnya pada sebuah mesyuarat khas Ahad lepas.

“Keputusan sebulat suara untuk menarik balik kes rayuan (itu) ialah kehendak ahli gabungan yang ingin melihat MTUC lebih menumpukan (kepada) isu-isu buruh.

“Mesyuarat bagi pemilihan pegawai baharu akan dilaksanakan setelah mendapat arahan daripada Mahkamah Rayuan susulan penarikan balik kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kamarul, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah memaklumkan pihaknya bahawa kepimpinan yang dipilih pada pemilihan 2020 boleh menjalankan tugas pentadbiran sehingga pemilihan baharu diadakan.

Pada Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan persidangan perwakilan MTUC yang diadakan setiap tiga tahun itu terbatal dan tidak sah kerana melanggar beberapa peruntukan dalam perlembagaannya.

Bagaimanapun, sebulan kemudian, Pesuruhjaya Kehakiman Choong Yeow Choy menggantung keputusan itu di mahkamah yang sama. Menurutnya, terdapat keadaan khas yang memerlukan keputusan 11 Ogos 2023 itu digantung sementara menunggu penyelesaian rayuan MTUC di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.