PRK KKB: Calon PH mahu fokus kempen, tak endah serangan peribadi

PRK KKB: Calon PH mahu fokus kempen, tak endah serangan peribadi

Calon DAP Pang Sock Tao menegaskan beliau mahu berpolitik secara matang dan fokus kepada kempen menjelang PRK 11 Mei ini.

Pang Sock Tao
Calon DAP mewakili kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao, beramah mesra dengan penduduk kawasan Kuala Kubu Baharu dalam gerak kempennya menjelang PRK 11 Mei ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata, beliau tidak terganggu dengan serangan peribadi oleh pembangkang terhadapnya, sebaliknya mahu kekal fokus kepada usaha kempen.

Katanya, beliau mahu berpolitik secara matang dan menggunakan sepenuhnya tempoh berkempen memaklumkan semua pengundi tentang perancangannya bagi kawasan itu.

“Saya kena fokus, sebab bagi saya itu (serangan peribadi) tidak relevan kepada rakyat KKB sebab rakyat setempat nak orang yang boleh membantu dan berkhidmat,” katanya, lapor Bernama.

“Jadi dengan hati yang ikhlas dan iltizam yang tinggi, saya mampu dan yakin saya boleh buat. Saya rasa kita perlu mengamalkan politik matang serta saya harap pencabar-pencabar boleh berkempen dengan berhemah kerana saya sendiri tak nak ulas isu peribadi orang lain.”

Bekas setiausaha akhbar menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar Pasar Awam KKB bersama Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Semalam, Pang, 31, calon DAP yang dipertaruhkan mewakili kerajaan perpaduan berkata, beliau akan mengumumkan manifesto pilihan rayanya pada Jumaat ini.

Manifesto itu dijangka memiliki tawaran komprehensif melibatkan pembangunan penduduk termasuk komuniti Orang Asli di kawasan Kuala Kubu Baharu.

Pang berkata, walaupun wujud serangan peribadi terhadapnya, penerimaan penduduk setakat empat hari berkempen bermula Sabtu lepas adalah positif.

Sementara itu, kawasan DUN berkenaan kini dilihat mulai sibuk dengan kehadiran pemimpin utama parti-parti bertanding yang turun padang berkempen membantu calon masing-masing, kecuali calon Bebas Nyau Ke Xin, yang masih tidak jelas mengenai kempennya.

Selain Nyau, Pang akan ditentang dua pencabar lain, iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) pada PRK 11 Mei ini.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.