
Justeru itu, jelasnya tidak timbul isu peruntukan bagi tujuan pengurusan dan pembangunan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail.
Tawfiq mencadangkan Kementerian Perpaduan Negara diberi peruntukan sama atau lebih besar yang diberikan kepada Jakim, dalam peranannya merapatkan jurang rakyat berbilang kaum.
Na’im berkata peranan agensi di bawahnya itu adalah memperkukuh tadbir urus hal ehwal Islam, sebaliknya kementerian diketuai Aaron Ago Dagang bertanggungjawab membina tapak integrasi bagi pengukuhan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat.
“Fungsi Jakim berbeza dengan Kementerian Perpaduan Negara. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa meraikan pendapat tersebut serta berpandangan komentar yang dikemukakan itu adalah bersifat cadangan semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Jakim, yang menerima peruntukan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion setahun dalam belanjawan persekutuan, telah lama berdepan kritikan dalam beberapa aspek.
Jabatan itu menarik perhatian apabila menerima peningkatan peruntukan RM3.5 juta iaitu kepada RM751 juta pada 2022 berbanding RM747 juta tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Na’im berkata kementeriannya menerima peruntukan sebanyak RM1.9 bilion dalam Belanjawan 2024, melibatkan semua agensi di bawahnya termasuk Jakim, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Secara amnya, Jakim telah diperuntukan sejumlah RM730 juta kepada guru Kafa, guru Takmir dan imam yang dilantik di seluruh negara yang berusaha bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan.
“Bagi pengoperasian semasa Jakim pula, sebanyak RM249 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM50 juta di bawah perbelanjaan pembangunan, sementara RM150 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Na’im berkata kerajaan juga setuju mengembalikan geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar di bawah Jakim.
“Selain itu, sejumlah RM50 juta juga diperuntukan untuk sumbangan khas kepada lebih 70,000 penerima terdiri daripada guru takmir, guru Kafa, imam, bilal, siak, noja dan marbut yang bersungguh-sungguh menggerakkan usaha pembangunan insan,” katanya.