Tulis ancaman bom di KLIA; lelaki dipenjara 4 hari, denda RM3,000

Tulis ancaman bom di KLIA; lelaki dipenjara 4 hari, denda RM3,000

Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Rozali Rahim mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menakutkan secara jenayah.

Unit pemusnah bom polis membuat pemeriksaan pada satu bungkusan tertera ayat berunsur ancaman bom di Pusat Kargo KLIA pada Khamis lalu. (Gambar PDRM)
SEPANG:
Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM3,000 ke atas seorang pekerja stor yang mengaku menulis ancaman bom di atas bungkusan untuk penghantaran di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lepas.

Muhammad Rozali Rahim, 23, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Dia didakwa sengaja menakutkan secara jenayah dengan menulis ayat ugutan ‘Awas Jangan Campak Nanti Meletup!! Ini Bom!!’ pada bungkusan kiriman seseorang di mesin pengimbas di Pusat Kargo KLIA pada 11.42 pagi 25 April lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan Razali menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap dan tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.