
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail berkata, Kementerian Perpaduan Negara, yang diketuai oleh Aaron Ago Dagang, perlu diberi belanjawan yang lebih besar atas peranannya merapatkan jurang dan memupuk hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Portfolio anda, Yang Berhormat, adalah yang paling penting dan paling diperlukan untuk membina dan membaiki hubungan, dan bagi saya, layak mendapat belanjawan yang sama, jika bukan lebih daripada yang diberikan kepada Jakim, kerana anda berkhidmat untuk kawasan yang lebih luas,” katanya.
Tawfik berkata demikian dalam ucapannya selepas menerima Anugerah Kepimpinan Ikon Perpaduan Negara pada acara Sejahtera Malaysia hari ini, yang dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, Dialog Rakyat dan Universiti UCSI.
Jakim, yang menerima peruntukan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion setahun dalam belanjawan persekutuan, telah lama berdepan kritikan dalam beberapa aspek.
Pada 2021, jabatan itu menarik perhatian apabila menerima peningkatan peruntukan sebanyak RM3.5 juta dalam Belanjawan 2022.
Dalam ucapannya, Tawfik turut menekankan kepentingan mempunyai pemimpin dari Sarawak menerajui kementerian tersebut.
“Kami, di Semenanjung, melihat dengan rasa iri hati keharmonian dan kedalaman empati antara satu sama lain yang unik dimiliki oleh orang Sarawak, nilai-nilai yang pernah kita kongsi di Tanah Melayu sebelum ini, namun kini diuji dengan berat oleh retorik taksub dan berfikiran sempit golongan yang sepatutnya lebih arif,” katanya.