Kasino: Siasat sumber tak dinamakan Bloomberg, kata Berjaya

Kasino: Siasat sumber tak dinamakan Bloomberg, kata Berjaya

Syarikat itu dakwa laporan diterbitkan berniat jahat dan bertujuan cetus pergolakan politik dan jejas kepercayaan orang ramai.

forest city
Artikel Bloomberg mendakwa perbincangan diadakan bagi membuka kasino di Forest City di Johor. Laporan itu telah dinafikan sebagai tidak benar.
PETALING JAYA:
Berjaya Corporation membuat laporan polis terhadap dakwaan artikel Bloomberg mengaitkan pengasasnya, Vincent Tan terlibat dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuka kasino di Forest City, Johor.

Dalam kenyataan, Berjaya berkata pihak guaman syarikat memfailkan laporan pada Jumaat, menggesa polis mengenal pasti identiti sumber tidak dinamakan dipetik laporan itu.

Berjaya mendakwa penerbitan atau penerbitan semula artikel “dibuat dengan niat jahat, bertujuan mencetuskan pergolakan politik, menjejaskan kepercayaan orang ramai, dan pemesongan persepsi umum” kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan perdana menteri.

Syarikat berkenaan menuduh sumber tidak dinamakan itu menyebarkan kenyataan tidak benar dan palsu, sambil menegaskan media menyiarkan laporan tersebut tidak berusaha mengesahkan dakwaan sebelum ia diterbitkan.

Artikel terbabit diterbitkan perkhidmatan berita, Bloomberg dan diterbitkan semula The Edge Singapore memandangkan ia laporan bersindiket. The Business Times of Singapore memetik sumber mereka mengesahkan perbincangan didakwa itu.

Berjaya menegaskan bahawa Tan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak dilaporkan, termasuk Anwar, Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting, termasuk wakil Sultan Ibrahim.

Anwar dan Genting menafikan laporan itu, dengan perdana menteri menyeru tindakan diambil apa digambarkan sebagai penipuan dalam artikel Bloomberg.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.