Tiada sumbangan duit raya, MB pertahan anjur rumah terbuka di KKB

Tiada sumbangan duit raya, MB pertahan anjur rumah terbuka di KKB

Amirudin Shari tidak mahu program kerajaan negeri itu ditafsir 'bukan-bukan'.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata sepanjang program rumah terbuka berlangsung tiada langsung elemen kempen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri di pekan Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor tidak melanggar akta pilihan raya kerana tiada unsur kempen mahupun “sumbangan duit raya”, kata Amirudin Shari.

Menteri besar Selangor menegaskan ia bukan kempen tetapi program kerajaan negeri.

“Kita telah atur lebih kurang sebulan lalu atau lebih khusus pada awal Ramadan yang lepas untuk menetapkan tarikh hari raya dan majlis jamuan ini.

“Ini bukan program kempen atau parti politik tetapi (program) kerajaan negeri. Sepanjang program ini juga tidak ada langsung elemen kempen.

“Tetapi, kalau orang datang pakai baju (ada unsur parti) saya tidak boleh halang atau suruh tukar baju,” katanya menurut Sinar Harian malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Bersih penganjuran rumah terbuka itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sebelum ini, Bersih mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka itu, dianjurkan di kawasan dan ketika PRK Kuala Kubu Baharu berjalan.

Sementara itu, ditanya punca pembatalan acara penyampaian sumbangan raya yang sepatutnya diadakan pada majlis itu, Amirudin berkata, tindakan dibuat atas nasihat pelbagai pihak.

“Setelah kita dapat nasihat dan sebagainya (kita buat keputusan untuk batal) kerana tidak mahu ada tafsiran yang bukan-bukan.

“(Jadi) kita ambil langkah berjaga-jaga atas teguran tersebut (supaya batal sumbangan duit raya),” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, Pakatan Harapan, Pang Sock Tao, Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin, dan bebas, Nyau Ke Xin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.