Chegubard berdepan tuduhan fitnah, hasutan esok

Chegubard berdepan tuduhan fitnah, hasutan esok

Badrul Hisham Shaharin daripada Bersatu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata, Chegubard akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
PETALING JAYA:
Badrul Hisham Shaharin daripada Bersatu, yang lebih dikenali Chegubard, akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan fitnah dan hasutan.

Peguamnya Rafique Rashid Ali berkata, Bukit Aman mengesahkan Chegubard akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9.30 pagi Isnin mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.

Pertuduhan pertama ada kaitan dengan dia “menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim”, menurut notis media oleh Rafique.

Pertuduhan kedua pula membabitkan kenyataan berbaur hasutan berhubung pertemuan Sultan Ibrahim dengan pengasas KK Mart, Chai Kee Kan pada awal bulan ini.

Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Chai di Istana Negara pada 3 April lalu susulan kontroversi rangkaian kedai serbaneka itu dalam isu stoking tertera kalimah Allah.

Chai dalam sesi menghadap 15 minit itu memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking itu.

Pada 8 April lalu, Badrul ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung catatan Facebook mengenai pertemuan Agong dan Chai.

Semalam, Rafique dilaporkan berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi dan kemudian direman sehingga petang esok.

Penahanan itu dikatakan ada kaitan dengan catatannya berhubung laporan Bloomberg mendakwa rundingan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan pengasas Berjaya Corporation Bhd, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay mengenai pembukaan kasino di Forest City, Johor.

Anwar, Berjaya dan Genting menafikan laporan Bloomberg, dengan perdana menteri menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.