
KKM dalam kenyataan memaklumkan Peraturan-peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai bahan penyesuai makanan di bawah aditif makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50mg/kg.
“Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Program Standard Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 60mg/kg.
“Dalam hal ini, penggunaan benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan dalam jumlah tertentu di Malaysia dan luar negara oleh badan penilai antarabangsa, iaitu Jawatankuasa Pakar Mengenai Bahan Tambah Makanan (JECFA).”
Menurut KKM, pihaknya mengambil maklum isu yang ditularkan semula di media sosial berkaitan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum didakwa boleh menjejaskan kesihatan.
Katanya, perkara itu sudah dijelaskan dalam dua kenyataan media pada 2012 dan 2017 bagi mengelakkan kekeliruan awam.
KKM berkata, ia sentiasa bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat bukti saintifik terkini daripada badan antarabangsa seperi Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan makanan berbahaya kepada kesihatan.
KKM juga sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran bagi memastikan kandungan benzoil peroksida dalam kadar dibenarkan.
“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri terdekat atau layari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.”