Tiada cadangan gantung sementara helikopter Fennec, HOM, kata menteri

Tiada cadangan gantung sementara helikopter Fennec, HOM, kata menteri

Nahas dua helikopter itu Selasa lalu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak, mengorbankan 10 pegawai dan anggota termasuk tiga wanita. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kerajaan setakat ini tidak bercadang menggantung sementara perkhidmatan helikopter jenis Fennec dan HOM.

“Setakat ini tidak ke arah itu (gantung sementara),” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan program Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Dusun Tembakau di Manir.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika terdapat keperluan untuk menggantung perkhidmatan kedua-dua jenis helikopter tersebut susulan nahas pada pagi Selasa yang membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6).

Kejadian yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Semua yang terkorban disemadikan dengan jasad terakhir, T Sivasutan, 31, selamat menjalani upacara pembakaran di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Sitiawan pada 12.15 tengah hari, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Khaled mengesahkan bangkai dua pesawat berkenaan termasuk kotak hitam sudah dialihkan dari lokasi kejadian pada Khamis.

“Saya dimaklumkan semuanya telah dialihkan untuk ke tempat siasatan dibuat,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan Lembaga Siasatan ditubuhkan TLDM itu, akan turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan pakar lain termasuk pembuat helikopter.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan proses itu akan melibatkan pakar dari luar negara jika ada keperluan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.