
PH mempertaruhkan Pang Sock Tao daripada DAP, Khairul Azhari Saut daripada Bersatu membawa cabaran PN, PRM diwakili Hafizah Zainudin manakala calon bebas Nyau Ke Xin.
Pang, 31, adalah setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming manakala Khairul, 54, pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor.
Pengumuman calon itu dibuat Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.
Yuhanas memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima empat borang pencalonan selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi.
Terdahulu, calon PN tiba pada 8.35 pagi diiringi pemimpin utama antaranya Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan dan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri.
Manakala calon PH tiba pada 8:43 pagi diiringi Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan menteri besar yang juga Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya daripada PH Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser 21 Mac lalu.
Pada PRN Ogos lalu, Lee mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,119 undi menewaskan Henry Teoh daripada Gerakan yang mewakili PN.
SPR menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 7 Mei membabitkan peruntukan RM2.5 juta.
Seramai 40,226 pemilih layak mengundi dengan pecahan Melayu (46%), Cina (30%), India (18%) dan lain-lain (5%).