
Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata kebanyakan kedai makan terbabit menggaji buruh asing yang murah sebagaimana diamalkan pemain industri pembinaan dan pembuatan.
“Amalan sedemikian secara langsung membawa kesan yang menyedihkan pada tahap gaji pekerja kita. Itu sebab pekerja kita mencari pekerjaan di luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Mohideen mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng Rabu lalu, bahawa cadangan melarang kedai makan beroperasi 24 jam boleh memberi kesan kepada ekonomi negara kerana ia memainkan peranan penting dengan menyediakan peluang pekerjaan.
Lim juga meminta Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menolak cadangan itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) berkata ia sedang memperhalusi gesaan CAP.
Mohideen sebelum ini menggesa lesen operasi 24 jam diberikan kepada kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.
Katanya, CAP sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.
Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan menyifatkan gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi serta gaya hidup masyarakat bagi memenuhi keperluan semua pihak.