SPRM dapat petunjuk baharu lokasi menantu Muhyiddin

SPRM dapat petunjuk baharu lokasi menantu Muhyiddin

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Adlan Berhan dikesan menggunakan kad kredit di luar negara.

Adlan Berhan dikehendaki bagi kes penganugerahan kontrak lumayan, berkemungkinan salah guna kuasa berkait Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu keberadaan menantu Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, yang dikehendaki bagi siasatan kes salah guna kuasa Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata petunjuk itu merujuk penggunaan kad kreditnya di luar negara.

“Hasil pemantauan SPRM, beliau (Muhammad Adlan Berhan) ada menggunakan kad kreditnya dan berbelanja di beberapa buah negara.

“SPRM telah memohon kepada pihak Interpol bagi tujuan ‘red flag’ ke atasnya dalam kes ini dan kami masih mengesannya untuk dituduh di mahkamah,” katanya menurut Bernama.

Ogos lalu, SPRM berusaha mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di satu kementerian.

Mereka ialah Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Desa Sri Hartamas, dan Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Subang Jaya, Selangor.

Adlan bagaimanapun menafikan dakwaan itu menerusi peguamnya, bahawa beliau lari daripada undang-undang.

Tahun lalu, sumber SPRM berkata agensi itu menyiasat penganugerahan kontrak lumayan kepada Adlan, berkemungkinan salah guna kuasa berkait NIISe.

Beliau dinamakan dalam laporan media pada 2020 sebagai pemain utama dalam perolehan kontrak NIISe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.