Parti tiada kuasa tentu sempadan pilihan raya, Saifuddin diberitahu

Parti tiada kuasa tentu sempadan pilihan raya, Saifuddin diberitahu

Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berkata tidak akan ada keputusan jika semua parti perlu capai persetujuan terhadap formula persempadanan semula.

William Leong
William Leong berkata parti tiada hak menentukan sempadan pilihan raya sebaliknya dilaksanakan SPR dan meminta Saifuddin Abdullah semak Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Selayang William Leong tidak bersetuju cadangan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan dan pembangkang perlu capai persetujuan terhadap formula persempadanan semula kawasan pilihan raya, sambil menegaskan ia “tidak akan berhasil”.

“Kalau semua parti perlu setuju (formula persempadanan semula), mana nak dapat persetujuan,” kata William yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) Parlimen kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah yang menyatakan ada parti politik sebelum ini mendapat manfaat menerusi “gerrymandering” atau manipulasi kawasan sempadan, namun tidak menyatakan secara terperinci.

Pemimpin Bersatu itu mencadangkan faktor kepelbagaian kaum dan demografi tempatan diambil kira ketika persempadanan dilakukan, sebelum keputusan sama ada perlu diselaraskan semula jumlah kerusi.

“Jangan secara sengaja menjadikan sebarang kerusi dikuasai Melayu atau bercampur, seperti berlaku sebelum ini,” kata bekas Ahli Parlimen Umno itu.

William bagaimanapun meminta Saifuddin menyemak kandungan Perlembagaan mengenai persempadanan semula, yang menurutnya setiap parti tiada hak menentukan sempadan pilihan raya, sebaliknya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Persempadanan semula ikut Perlembagaan, mana ada parti berkuasa untuk memutuskan sempadan. Jadi kena ikut undang-undang.

“Dia kena baca Perlembagaan dan undang-undang sedia ada,” kata Ahli Parlimen PKR itu.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, SPR bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun.

Bagaimanapun, ia boleh ditangguhkan jika terdapat peristiwa besar, seperti pilihan raya umum.

Ketika ini, jumlah bahagian pilihan raya persekutuan adalah sebanyak 222, manakala pilihan raya negeri pula 600 bahagian.

Pada Januari, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, berkata tiada rancangan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung dan Sabah, memandangkan tempoh lapan tahun masih berjalan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbang kesesuaian melakukan persempadanan semula di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.