
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya turut merampas seunit telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro yang dipercayai digunakan pemilik akaun Twitter, “Saifuddin Shafik” untuk membuat hantaran itu.
Katanya, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu sensitif, terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.
Semalam, seorang pengadu iaitu Wat Kamal Abas membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial terbabit, dengan berkata ‘perkataan biadap’ itu tidak patut dikeluarkan memandangkan keluarga mangsa dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu.
Kelmarin, dua helikopter TLDM bertembung di udara ketika menjalani raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei.
Pesawat itu kemudian terhempas di dua lokasi, iaitu Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, mengorbankan 10 nyawa.