
Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata lelaki tempatan dan warga asing berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ketika cuba menaiki penerbangan ke Sarawak, pada 4.11 pagi.
“Kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan ketika proses imbasan bagasi yang membawa kepada penemuan 7,000g dadah jenis methamphetamine, pil erimin 5 seberat 5,950g dan pil ekstasi seberat 61g.
“Dadah berkenaan dijumpai disorok di dalam satu beg sandang dan satu bagasi milik kedua-duanya,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.
Sasikala Devi berkata susulan tangkapan itu, polis kemudian menyerbu kondominium disewa dua lelaki terbabit di Seri Kembangan dan merampas 9,000g pil erimin 5 dan 169.65g ketamin, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.76 juta.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan menggunakan penerbangan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan dipercayai aktif menyeludup dadah ke Sarawak sejak empat bulan lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan bagi tujuan tersebut dan semasa kejadian, mereka dijangka berlepas ke Sibu, iaitu satu daripada pasaran pengedaran dadah sindiket itu,” katanya.
Sasikala Devi berkata lelaki warga tempatan itu didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala kedua-dua lelaki berkenaan positif terhadap dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.
“Kedua-duanya kini direman hingga 28 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sasikala Devi berkata pihaknya masih menunggu laporan forensik bagi mengesan pemilik cap jari bagi kes sebuah bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara, pada Mac lalu.
Beliau berkata, setakat ini polis merakam keterangan 10 individu termasuk pemilik syarikat teknologi maklumat yang mendakwa wang tersebut miliknya.
“Kita masih menunggu saksi-saksi tampil menunjukkan bukti sumber daripada mana wang tersebut diperoleh dan ia mungkin memerlukan masa untuk memutuskan pemilik wang tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan berkata seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di pusat beli-belah berkenaan, pada pagi 20 Mac.