
“Orang sering mendakwa PN adalah gabungan perkauman dan tidak akan berbuat apa-apa untuk komuniti India, tetapi dengan menerima satu parti India dalam gabungan ini ia akan mengubah persepsi itu,” katanya kepada FMT.
Gana, yang bertanding sebagai calon Bersatu dalam pilihan raya negeri tahun lalu juga berpendapat kehadiran MIPP tidak akan menimbulkan sebarang konflik antara parti baharu itu dengan sayap bersekutu.
“Ketika saya bertanding, orang sering mempersoalkan saya, bertanya mengapa saya menjadi calon di bawah parti yang tidak mewakili orang India.
“Tetapi kini dengan adanya sebuah parti India dalam gabungan, ia secara automatik membantu kami. PN boleh bercakap untuk orang India menerusi MIPP,” katanya.
Ketika ditanya adakah anggota India dalam sayap bersekutu Bersatu itu akan menyertai MIPP, Gana berkata perkara itu belum dibincangkan lagi.
“Kita akan mengumpulkan semua ahli dan akan memutuskan langkah seterusnya,” katanya, yang menambah ada kemungkinan anggota India dan Cina dalam sayap bersekutu akhirnya menyertai MIPP dan Gerakan.
“Sebarang keputusan dibuat selepas satu mesyuarat diadakan,” katanya.
Semalam, MIPP diterima dalam PN sebagai parti komponen terbaharu.
Presiden MIPP P Punithan juga dilantik sebagai timbalan pengerusi gabungan itu.
MIPP menerima surat keahlian daripada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Parti komponen PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Maju Sabah.