Kerajaan, pembangkang perlu setuju formula persempadanan semula

Kerajaan, pembangkang perlu setuju formula persempadanan semula

Saifuddin Abdullah berkata sebelum ini ada parti politik tertentu menerima manfaat melalui 'gerrymandering'.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah tidak setuju persempadanan semula menjadikan sesuatu kerusi dikuasai Melayu atau bercampur semata-mata.
PETALING JAYA:
Kerajaan dan pembangkang perlu capai persetujuan terhadap formula persempadanan semula kawasan pilihan raya, sambil menyifatkan ada parti politik sebelum ini mendapat manfaat menerusi ‘gerrymandering’, kata Saifuddin Abdullah.

Bercakap pada forum dianjur Bersih, malam tadi, Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Umno tidak menyatakan parti dimaksudkan.

Beliau mencadangkan faktor kepelbagaian kaum dan demografi tempatan diambil kira ketika persempadanan dilakukan, sebelum keputusan sama ada perlu diselaraskan semula jumlah kerusi.

“Jangan secara sengaja menjadikan sebarang kerusi dikuasai Melayu atau bercampur, seperti berlaku sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.

Saifuddin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, berkata sebelum ini timbul situasi tidak konsisten di kawasan bandar dan luar bandar.

“Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan syarat,” katanya.

“Ia perlu dilihat semula jika perlu dipinda, kita pinda. Jika tidak tiada formula.”

Pada Januari, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh, berkata tiada rancangan melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung dan Sabah, memandangkan tempoh lapan tahun masih berjalan.

Katanya, pihaknya sedang mempertimbang kesesuaian melakukan persempadanan semula di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.