
Wan Alyan Riz, 4, satu-satunya anak Allahyarham mengucup keranda bapanya sebelum diturunkan ke liang lahad.
Hampir 1,000 orang termasuk ahli keluarga, anggota tentera laut dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih.
Jenazah juruterbang Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) itu selamat dikebumikan mengikut istiadat tentera pada 10.20 malam tadi.

Jasadnya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah selepas solat jenazah di Masjid Negara di ibu negara, kemudian di Masjid Salahuddin Al Ayyubi, Taman Melati.
Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai tentera laut terdiri tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec terkorban selepas pesawat dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90.