MKI akan teliti fatwa ulama sedunia berkait pencerobohan Gaza

MKI akan teliti fatwa ulama sedunia berkait pencerobohan Gaza

Perbincangan akan dianjurkan Jakim bagi meneliti fatwa secara mendalam dan menyeluruh.

Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia memutuskan fatwa mewajibkan jihad harta untuk membantu rakyat Palestin di Gaza, dan mengharamkan menyokong Israel dalam apa jua bentuk. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) akan diadakan dalam kadar segera bagi meneliti fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkaitan isu pencerobohan Israel di Gaza, Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, dalam kenyataan hari ini memaklumkan perbincangan itu akan dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meneliti fatwa berkenaan secara mendalam dan menyeluruh.

“Saya juga telah meminta agensi bawah menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) untuk mengadakan libat urus bersama agamawan dan pertubuhan Islam bagi membincangkan implikasi fatwa tersebut dari pelbagai sudut.

“Ini demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan negara dan umat Islam, khususnya saudara kita di Gaza,” katanya.

Berdasarkan beberapa laporan media antarabangsa antara intipati fatwa ialah kewajipan campur tangan ketenteraan segera negara-negara Arab dan Islam, serta keperluan mengkaji semula perjanjian damai yang dimeterai beberapa negara Arab dengan entiti penjajah.

Selain itu, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia memutuskan fatwa mewajibkan jihad harta untuk membantu rakyat Palestin di Gaza, dan mengharamkan untuk menyokong Israel dalam apa jua bentuk sokongan.

Na’im berkata, agensi bawah JPM (hal ehwal agama) akan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk melalui Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan untuk meringankan beban kehidupan rakyat Gaza.

Beliau berkata, semua pihak memikul tanggungjawab bersama untuk terus menyuarakan sokongan, menzahirkan solidariti dan mendoakan kemenangan bagi rakyat Palestin serta mendoakan segala usaha itu menjadi asbab kepada kebebasan dan keamanan yang hakiki buat bumi Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.