
Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front berkata, individu yang membaca dua buku itu akan menyedari ia menyentuh sejarah Islam dan punca kemunduran dalam dunia Islam.
“Idea pengharaman buku bukan saja mencerminkan anti-intelektualisme, tetapi bertentangan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
Beliau merujuk buku bertajuk “Golongan Muslim Pertama: Sejarah dan Memori” oleh Asma Afsaruddin dan “Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa” karya profesor berpangkalan di Amerika Syarikat, Ahmet T Kuru.
Farouk berkata, buku Asma bertujuan memberi pemahaman lebih mendalam sejarah umat Islam dengan membandingkan sikap toleransi Nabi Muhammad dan amalan semasa.
Menurutnya, buku Kuru mengenai isu kemunduran dunia Islam dan menyimpulkan pakatan ulama-negara faktor paling penting.
“Nampaknya, sebarang idea meminta umat Islam menilai semula pemahaman mereka dan pemikiran kritikal perlu dianggap sesat dan dengan itu diharamkan.”
Kenyataan Farouk menyusul tindakan Kuru menolak dakwaan bukunya bercanggah Islam Sunni dan menegaskan ia karya akademik dalam sains sosial, bukannya teologi.
Buku lain Kuru yang bertajuk “Perikatan Ulama Negara Punca Autoritarianisme dan Kemunduran Dunia Muslim” turut diluluskan untuk perintah larangan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri.
Penerbit bukunya, Lestari Hikmah berkata, cadangan pegawai agama mengharamkan dua penerbitan itu hanya mengukuhkan pandangan berhubung autoritarianisme yang dibincangkan dalam salah sebuah buku berkenaan.
Lestari Hikmah turut mengkritik alasan larangan itu sebagai generik dan tiada bukti khusus daripada teks itu sendiri bagi menyokong dakwaan ia “bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang Islam atau mengelirukan masyarakat Islam”.
“Kami tetap yakin tiada kandungan sedemikian dalam penerbitan itu.”