Sabah buat tuntutan berfasa jika rundingan pemberian khas tak muktamad

Sabah buat tuntutan berfasa jika rundingan pemberian khas tak muktamad

Menteri kewangan Sabah berkata, tempoh rundingan selama setahun sehingga 18 Julai ini dan formula pemberian khas itu masih dalam proses rundingan.

Masidi Manjun
Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri meminta data bagi menentukan jumlah wajar dituntut sebanyak lapan kali daripada Putrajaya, namun tiada jawapan munasabah diberikan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah akan mengambil pendekatan tuntutan secara berfasa pemberian khas kerajaan persekutuan, sekiranya proses rundingan tidak dapat dimuktamadkan sehingga tempoh ditetapkan, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Kewangan negeri, Masidi Manjun berkata, tempoh rundingan ialah selama setahun sehingga 18 Julai ini dan ketika ini, formula pemberian khas itu masih dalam proses rundingan.

“Sabah telah lapan kali meminta data daripada kerajaan persekutuan bagi menentukan jumlah yang wajar dituntut, namun tidak ada jawapan munasabah diberikan. Sekiranya selepas Julai ini tidak ada persetujuan dicapai, maka terserah pada kita mengambil pilihan untuk melantik pentaksir bebas.

“Selain itu, kita juga telah nyatakan selepas Julai, kita juga akan buat tuntutan secara berfasa tanpa data-data yang lengkap dari kerajaan persekutuan. Kita akan buat andaian dan kiraan sendiri berapa jumlah, berdasarkan data diumumkan agensi kerajaan persekutuan sendiri.”

Beliau menjawab soalan tambahan Bung Moktar Radin (BN-Lamag) mengenai proses rundingan pembayaran pemberian khas itu.

Bung dalam soalan lisannya sebelum ini bertanya adakah kerajaan Sabah berhasrat mencadangkan pentafsir bebas dalam proses rundingan itu untuk menentukan jumlah yang wajar.

Pembantu Menteri Kewangan negeri, Tan Lee Fat ketika menjawab soalan itu berkata, kerajaan Sabah tetap dengan formula asal pemberian khas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu dua per lima atau 40% daripada hasil bersih persekutuan di Sabah.

Sejak rundingan amaun pemberian itu dimulakan, katanya, kerajaan persekutuan membayar RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta tahun lepas, yang mana kerajaan negeri menerima bayaran itu sebagai penyelesaian interim.

“Suka saya ingatkan perkara mengenai pemberian khas ini masih dalam proses rundingan, saya yakin dan percaya rundingan kerajaan persekutuan dan negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.