Pastikan anak bawah 13 tahun tiada akaun media sosial, ibu bapa diingatkan

Pastikan anak bawah 13 tahun tiada akaun media sosial, ibu bapa diingatkan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, SKMM mendapati kanak-kanak bawah 13 tahun tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial.

Fahmi Fadzil berkata, jika mendapati anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial, ibu bapa boleh memaklumkan beliau atau SKMM untuk menutup akaun itu.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial.

Ini kerana, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, SKMM mendapati kanak-kanak bawah 13 tahun tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial.

Jurucakap kerajaan perpaduan itu berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan itu memiliki akaun media sosial.

“Kepada ‘parents’ (ibu bapa) yang hadir malam ini, saya beri amaran daripada SKMM, anak-anak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.

“Sekiranya ada (anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial), ibu bapa tolong maklum kepada saya, SKMM…kita akan akan ‘shut down’ (tutup) akaun tersebut,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di sini malam tadi.

Fahmi menjelaskan isu pemilikan akaun media sosial ketika ini adalah pihak media sosial menyerahkan sepenuhnya pendaftaran pembukaan akaun kepada pengguna tanpa kaedah pembuktian yang boleh memastikan usia mereka melebihi syarat dibenarkan.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan siri pertemuan dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp serta pihak Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah 13 tahun.

“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian berkait dengan kanak kanak.”

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyeru orang ramai mengambil peluang mengukuhkan silaturahim, persahabatan serta perpaduan antara satu sama lain.

“Kita sebagai negara Malaysia memiliki kekuatan berdasarkan kemajmukan, kepelbagaian dan perpaduan, malah tiada negara lain seperti Malaysia yang mempunyai komposisi kaum dan latar belakang seperti negara kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.