
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata Sistem Akreditasi MQA Elektronik atau e-MAS itu sejajar dengan agenda pendigitalan MQA 2021-2025 menerusi teras strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber).
Katanya, sistem baharu itu menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul pengurusan berkaitan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.
“Antara kelebihan e-MAS ialah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat 100% dalam talian, boleh diakses 24 jam, proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara real-time.
“Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan pelancaran sistem ini akan dimulakan dengan perintisan 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula hari ini,” katanya ketika berucap pasa majlis tautan kasih MQA bersama media.
Dalam majlis sama, MQA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT) Indonesia.
MQA diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Shatar Sabran dan BAN-PT diketuai direktur dewan eksekutifnya, Ari Purbayanto.
Mengulas mengenai pelanjutan MoU bersama BAN-PT, Indonesia, Shatar berkata pemeteraian itu bagi mengukuhkan hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama berfokus di antara kedua-dua agensi, di samping memudahkan pelajar kedua-dua negara untuk menyambung pengajian.
Katanya, MoU itu membolehkan pegawai dari kedua-dua agensi saling bertukar input serta pandangan, melaksanakan inisiatif penandaarasan, berkongsi tatacara dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih efektif.
“Dari segi pembangunan kapasiti, MoU ini bakal membuka peluang kepada pegawai dari kedua-dua agensi bagi mengikuti program pertukaran staf di agensi masing-masing dan seterusnya mengukuhkan kerjasama dalam aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang.
“Kerjasama ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi yang mempunyai sistem jaminan kualiti yang diperakui di peringkat global,” katanya.