Pelantikan Mustapha ‘makan diri’ jika tuntutan 40% hasil tak dipenuhi, kata penganalisis

Pelantikan Mustapha ‘makan diri’ jika tuntutan 40% hasil tak dipenuhi, kata penganalisis

Kelewatan laksana hak Sabah terima 40% hasil persekutuan diperoleh daripada negeri itu boleh menyebabkan kerjaya politik Mustapha Sakmud berakhir pada PRU akan datang.

Mustapha Sakmud
Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam rombakan Kabinet semalam.
PETALING JAYA:
Penganalisis memberi amaran bahawa pelantikan Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak berisiko menjejaskan kelangsungan politiknya sekiranya ketua PKR Sabah itu gagal membuktikan kemajuan ketara dalam tuntutan 40% hasil yang sekian lama dijanjikan kepada negeri berkenaan.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata Pakatan Harapan (PH) sedang berdepan ‘gelombang penolakan’ di media sosial dan pelantikan Mustapha dilihat sebagai langkah taktikal untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Sabah selepas prestasi hambar dalam PRN negeri baru-baru ini.

“Prestasi PH dalam pilihan raya Sabah jelas tidak memberangsangkan. Mereka perlu melakukan sesuatu bagi menunjukkan komitmen mempertahankan hak Sabah.

“Isu 40% hasil kini sedang dirundingkan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, tetapi pada ketika ini rakyat Sabah hanya mahu melihat 40% itu dibayar.

“Jadi pelantikan Mustapha mungkin ‘memakan diri’ dan menamatkan kerjaya politiknya pada PRU akan datang jika beliau tidak mampu membawa sebarang perubahan signifikan,” katanya.

Penganalisis politik UMS Romzi Ationg bersetuju bahawa Mustapha, yang sebelum ini merupakan timbalan menteri pendidikan tinggi, berdepan cabaran besar dalam peranan baharunya berikutan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pelaksanaan hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu.

Beliau berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Mustapha menangani ketidakpuasan di peringkat akar umbi berkaitan perkongsian hasil tersebut, yang butirannya kini sedang diperincikan oleh pegawai Perbendaharaan dan setiausaha kerajaan negeri Sabah.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan rakyat Sabah tahu bahawa perdana menteri memberi tumpuan kepada Sabah,” katanya, sambil menambah bahawa Anwar, yang juga presiden PKR, ‘mahu memastikan PKR dapat memenangi lebih banyak kerusi di Sabah’.

Ahli politik Sabah sejak sekian lama menuntut kerajaan persekutuan menghormati hak negeri itu untuk menerima 40% daripada hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari Sabah seperti yang dipersetujui pada 1963.

Penggunaan formula itu digantung sejak 1974, dengan kerajaan persekutuan sebaliknya menyalurkan geran khas yang lebih tinggi kepada Sabah dan Sarawak.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak Sabah untuk menerima 40% hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa semakan pasca 2021 yang dijalankan kerajaan berhubung hak negeri itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.

Fokus kepada MA63

Penganalisis, Syahruddin Awang Ahmad, berkata keutamaan segera Mustapha ialah mendesak pelaksanaan penuh peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan pengagihan sumber dan peruntukan kewangan yang adil untuk kedua-dua wilayah.

Syahruddin turut berkata Mustapha perlu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kecekapan institusi dan penyampaian perkhidmatan di Malaysia Timur, di samping menangani jurang sosioekonomi yang kritikal.

Seorang lagi penganalisis, Bilcher Bala, berkata Mustapha perlu membina keyakinan awam di Sabah dan Sarawak bahawa portfolionya benar-benar berfungsi sebagai saluran menuntut hak yang dijanjikan dalam MA63.

Beliau berkata keutamaan segera Mustapha adalah memastikan isu-isu tertunggak berkaitan MA63 diberi perhatian konkrit dan bukan sekadar kekal sebagai retorik politik.

Menurutnya, beliau mesti memperkukuh peranan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dengan memastikan rundingan tidak berlarutan tanpa hasil yang jelas.

“Kebolehannya untuk menyampaikan keputusan awal akan menentukan sama ada pelantikan ini dilihat sebagai langkah politik semata-mata atau sebagai titik perubahan dalam perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.